Make your own free website on Tripod.com
 
Ke Arah Perubahan Meyeluruh

 
Debar 19 Februari

Pertemuan Melayu adalah pertemuan bersyarat dari UMNO, atau khususnya Dr. Mahadhir Mohammad. Mahadhir mengatakan pertemuan antara PAS dan UMNO itu adalah pertemuan tanpa syarat dan pertemuan yang boleh membincangkan apa sahaja. Pertemuan dua Parti Melayu terbesar di Malaysia itu sebenarnya adalah pertemuan bersyarat.

Mahadhir dan media kongkongannya dari awal cadangan untuk pertemuan parti-parti Melayu itu telah meletakkan syarat yang tidak dinamakan syarat, iaitu perbincangan adalah mengenai perpaduan Melayu. Mereka mencanangkan pertemuan itu sebagai pertemuan Melayu untuk mencari titik pertemuan bagi penyatuan Melayu. Ini cukup jelas syarat yang dikenakan oleh Mahadhir yang kian tertekan samada dari dalam atau luar partinya. Beliau cukup tertekan samada dari dalam negeri atau dari luar negari. Jadi, menjelang perhimpunan agung UMNO, Mahadhir menadapat satu ilham bagi menenangkan pengikut-pengikut dan musuh-musuh politik beliau.

Bagi PAS pula yang sedang mara menuju ke Putra Jaya, pemimpin-pemimpinnya melihat secara positif tentang pertemuan ini. Apakah isi perbincangan yang perlu mereka utarakan kepada UMNO? UMNO sudah tentu tidak mahu bercakap tentang dasar parti kerana mereka berdasarkan Melayu sedangkan PAS berdasarkan Islam. Oleh kerana dasar UMNO adalah Melayu, maka perbincangan yang diberikan syarat diatas dasar  perpaduan Melayu itu adalah bersesuaian dengan dasar perjuangan parti mereka. Kita melihat dari awal bahawa pusingan pertama telah dimenangi oleh Mahadhir. Mahadhir telah berjaya menimbulkan keraguan kepada pejuang-pejuang reformasi di dalam PAS dan juga di dalam Keadilan terhadap pertemuan ini. Pada masa yang sama, Mahadhir telah dapat meletakkan diri beliau sebagai orang yang masih diperlukan oleh ahli-ahli UMNO kerana telah berjaya membawa PAS ke meja perundingan.

Beberapa hari kebelakangan ini pula, pemimpin-pemimpin PAS telah menerangkan kepada penyokong-penyokong mereka bahawa PAS tidak akan sekali-kali menyertai BN. Pertemuan dengan UMNO ini adalah merupakan lanjutan dari pelawaan muzakarah oleh PAS sejak sekian lama. Mereka telah meminta ahli-ahli PAS meneruskan peranan sebagai pembangkang dan bekerja keras bagi kemenangan dalam pilihanraya ke 11 akan datang.Pemimpin-pemimpin PAS semakin berjaya meyakinkan pejuang-pejuang reformasi, bahawa perjuangan menegakkan keadilan ini adalah perjuangan berterusan. Pertemuan dengan UMNO adalah tidak bercanggah dengan Islam malah salah satu tuntutan dakwah Islamiah. Mereka mahu mendengar apa yang UMNO mahu perkatakan dan UMNO pula mahu mendengar apa yang PAS katakan.

Pada saat ini kelihatan pejuang-pejuang reformasi melepaskan pimpinan PAS berdepan dengan UMNO dengan doa. Mereka melihat bahawa pimpinan PAS bukanlah orang yang mudah diperkotak katikkan. Mereka bukan seperti pimpinan UMNO Kedah yang satu masa dulu lantang menentang tindakan Mahadhir, tetapi bila berdepan mereka semua akur dengan keputusan Mahadhir.Walaupun bagaimana, mereka melihat dengan penuh debar kerana Mahadhir banyak kerenah dan pencak silatnya.
19 Februari adalah hari yang dinanti-nantikan dengan penuh debar. Berbagai spekulasi bertiup kencang, tapi Fadhil Nor tetap dengan keputusannya mahu berdepan dengan Mahadhir. Kalau Mahadhir hanya menghantarkan  wakilnya sahaja yang tidak boleh membuat keputusan dan tidak komit dengan keputusan pertemuan, rakyat akan dapat menilai sendiri pencak silat yang dimainkan oleh Mahadhir ini.

Memang sekarang gendang yang dipalu oleh mahadhir agak kuat dan lantang, tetapi selepas pertemuan ini, genderang perang yang manakah pula yang akan lantang bagi membangkitkan semangat perjuangan?